13 May 2010

Thomas Cup 2010-Quarter Final( M'sia vs Denmark)

KEBANGKITAN Muhd Hafiz Hashim yang sekian lama dinanti-nantikan akhirnya tiba pada waktu yang tepat apabila dia menghadiahkan mata kemenangan negara untuk mengalahkan Denmark 3-2 pada saingan penuh getir suku akhir Piala Thomas malam tadi.

TAHNIAH...Hafiz dikerumuni rakan sepasukan selepas kalahkan Persson.
TAHNIAH...Hafiz dikerumuni rakan sepasukan selepas kalahkan Persson.
Muhd Hafiz yang sekian lama dibayangi prestasi kurang memberangsangkan sejak memenangi gelaran Seluruh England pada 2003 tampil sebagai pemain perseorangan ketiga ketika kedudukan terikat 2-2, berjaya menundukkan Joachim Persson 21-12, 21-10 untuk membawa Malaysia ke separuh akhir bertemu juara bertahan, China esok.


Bagi Hafiz, ini kejayaan paling dinanti-nantikan selama ini bagi membalas kritikan ramai pihak yang meragui kemampuannya berada dalam skuad buat kali kelima.


“Hari ini perasaan amat gembira dan puas hati kerana memastikan tempat Malaysia ke separuh akhir. Ini adalah detik terbaik untuk menebus kehampaan selepas kalah dengan Jepun sebelum ini.


“Saya puas hati dengan permainan saya hari ini. Saya terus memberi tekanan kepada Persson sejak dari awal. Saya tidak kisah diberi tugas bermain di set penentuan seperti ini, jika saya berjaya melepasi tekanan, ia memberi kepuasan kepada saya,” katanya yang turut memberi mata kemenangan ketika Malaysia mengalahkan China 3-1 pada separuh akhir Piala Thomas 2002 di Guangzhou.


Aksi cemerlang Mohd Hafiz itu mendapat pujian Penaung Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datin Seri Rosmah Mansor yang terus menghubunginya sejurus permainan berakhir.


Apa yang diharapkan pemain berusia 28 tahun itu agar momentum skuad negara diteruskan apabila berdepan dengan cabaran penuh ranjau, pasukan pilihan China, nanti.


Sementara itu, ketua jurulatih kebangsaan Rashid Sidek semakin membayangkan episod kejayaan yang dilakar skuad negara ini tidak ubah seperti laluan ditempuhi ketika Malaysia melakar sejarah kali terakhir menjulang trofi Piala Thomas pada 1992 di Kuala Lumpur.


“Pada 1992 kita menewaskan Denmark, kemudian di peringkat separuh akhir, mengalahkan China dan menang dengan Indonesia di final. Ikut rekod, Malaysia pernah mengalahkan China sebelum ini, sudah pasti mereka juga gentar untuk berdepan dengan pemain kita.

“Apa perlu dilakukan kini pemain jangan dibuai dengan kejayaan ini sebaliknya fokus kepada perlawanan dengan China,” katanya.

Sumber : Harian Metro.


0 comments:

Post a Comment

Followers